Sunday, March 27, 2011

Puteri Adakan Perhimpunan Wanita 1Malaysia Iktiraf Kejayaan Wanita Muda

KUALA LUMPUR, 24 Mac – Ketua Pergerakan Puteri UMNO Malaysia, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin berkata Perhimpunan Wanita 1Malaysia yang direncanakan pada bulan Jun akan datang adalah satu program yang bakal mengiktiraf kejayaan wanita-wanita muda. Program yang akan dijayakan bersama parti-parti komponan Puteri itu juga merupakan langkah bijak mendekati golongan muda bagi meningkatkan jumlah daftar pengundi. “Semasa bermesyuarat dengan semua parti komponan iaitu MCA, MIC, Gerakan dan PPP, perkara ini telah dibincangkan dan semuanya telah bersetuju untuk bergabung menjayakannya. “Saya amat berpuas hati dengan komitmen yang diberikan oleh parti komponan terhadap program ini. Sasaran kita kelak adalah wanita dari semua sektor baik dari sektor awam ataupun swasta. “Saya juga berhasrat untuk menjadikan program perhimpunan ini sebagai acara tahunan. Sekarang ini, kita sedang merencanakan input untuk program tersebut. Apa yang pasti, program tersebut adalah program yang mampu mendekati wanita golongan muda untuk menambah golongan pengundi muda,” ujarnya. Menurut Rosnah, golongan muda sekarang ini seakan masih mengambil sikap tunggu dan lihat apa yang bakal berlaku. “Sebab itu kita harus mendekati golongan muda ini mengikut cara zaman mereka. Kita harus mencari formula baru untuk mendapat perhatian mereka dan cara yang sesuai masa kini adalah melalui facebook, twitter dan sebagainya. Pilihan Raya Umum (PRU) semakin dekat. Kita harus bekerja keras. “Di peringkat negeri juga harus lebih kreatif untuk mendekati golongan sasaran ini. Kita harus ingat, mereka adalah nadi kepada pergerakan dan program daftar pengundi harus dikaji kelemahannya dan diperkasa dari semasa ke semasa”, ujarnya. Beliau juga memberitahu akan turun padang ke semua negeri bagi berjumpa dengan semua bahagian bagi memastikan semua jentera sama ada Puteri UMNO mahupun komponen bergerak dengan lancar. “PRU akan datang amat penting untuk kita. Ianya bagi menilai sejauh mana rakyat kembali mempercayai BN dan UMNO selepas tsunami melanda PRU lalu,” ujarnya kepada UMNO-Online

No comments:

Post a Comment