Sunday, March 27, 2011

Isu Penyalahgunaan Kalimah Allah Gereja Kristian Di Malaysia

Baru – baru ini kita telah dikejutkan dengan satu isu yang telah menyebabkan berlakunya suasana yang agak tegang di Malaysia. Seperti kita maklum Mahkamah Persekutuan telah membenarkan pihak Gereja Khatolik untuk menggunakan kalimah Allah di dalam penerbitan mingguan mereka.

Ini telah menimbulkan reaksi kurang senang di kalangan umat Islam tanah air. Mereka menganggap ia satu bentuk penghinaan. Maka timbullah bantahan – bantahan jalanan dan yang lebih radikal timbul pula golongan ekstremis yang bertindak melampau dengan membakar gereja dan sebagainya.

Selama ini masyarakat Islam dan bangsa Melayu terlalu amat bertoleransi terhadap kepentingan bangsa dan agama lain, selama ini Malaysia berdiri teguh kerana sifat toleransi ini. Namun semenjak kebelakangan ini timbul banyak isu yang mirip provokasi supaya orang Melayu dan Islam bangkit melawan.

Label masyarakat barat terhadap umat Islam sebagai pengganas, agama yang mengajar perang, sedangkan hakikatnya Islam adalah agama yang amat mementingkan kedamaian.

Kita renung kepada waktu pembukaan kota Baitulmaqdis oleh Salahuddin Al-Ayyubi, kita dapat lihat toleransi beliau terhadap semua ahli kitab. Semua ahli kitab bebas menjalankan aktiviti keagamaan masing-masing tanpa sebarang gangguan. Tetapi apa yang berlaku sekarang ? Segala toleransi umat Islam dibalas dengan penindasan penghinaan dan provokasi.

Dari provokasi ini timbul golongan yang tidak boleh hanya sekadar duduk diam, maka muncullah pelbagai organisasi dan kumpulan yang kononnya memperjuangkan umat Islam tanpa mempedulikan implikasinya terhadap maruah dan nama Islam. Akhirnya Islam dilabel sebagai pengganas.

Bagi para pencinta kedamaian, sesungguhnya golongan ekstremis ini tidak dapat disekat selama mana ada penindasan dan provokasi terhadap Agama Islam.

Kita balik ke tanah air, selama ini juga bangsa Melayu dan orang Islam menghormati budaya dan agama bangsa lain. Sebagai orang Melayu dan Islam kami hanya berharap penghormatan yang telah diberikan dan toleransi yang kami tunjukkan dibalas dengan sewajarnya.
Nasihat kami kepada semua orang Melayu dan Islam, jangan termakan provokasi yang dilempar, jangan cepat membantah dan membelakangkan undang-undang. Tunjukkan bahawa Bangsa Melayu dan Umat Islam lebih beradab dan bertamadun daripada mereka yang membalas tuba kepada susu yang kita berikan.

No comments:

Post a Comment